liu shao-chi |
Kalau anda masih ingat, coretan saya di dalam Mingguan Malaysia pada 3 Ogos 2014 ada menceritakan bagaimana Mao Tse-tung telah diperangkap oleh Liu Shao-chi semasa persidangan terbesar Parti Komunis China yang dinamakan Conference of the Seven Thousand Cadres yang berlangsung di Beijing sekitar Januari dan Februari 1962.
Hasrat Mao Tse-tung telah dicantas oleh Liu Shao-chi. Semasa memberi ucapan pembukaan persidangan pada 27 Januari, dengan Mao duduk di sebelahnya, Liu Shao-chi tidak membaca teks yang telah diluluskan oleh Mao tetapi teks yang ditulis oleh Liu sendiri dengan bantuan pemimpin yang rapat dengannya. Di hadapan 7,000 kader kanan parti dari seluruh China, Liu Shao-chi mengecam habis-habisan Dasar Great Leap. Di depan Mao Tse-tung yang kebingungan, kader-kader parti yang hadir telah bangun beberapa kali memberi tepukan tanda sokongan terhadap ucapan Liu Shao-chi. Ucapannya yang di luar dugaan itu menyebut satu persatu kesilapan-kesilapan Dasar Great Leap. Apabila di penghujung ucapannya Liu Shao-chi menyeru supaya Dasar Great Leap dihentikan segera, dewan persidangan bergemuruh dengan pekikan suara para kader parti yang menyatakan persetujuan mereka. Suara-suara yang menyimpulkan: ‘Kami setuju’. Mereka seperti baru dikejutkan bahawa Presiden negara komunis China – jawatan yang dipegang Liu Shao-chi ketika itu– berdiri di belakang mereka. Mereka sedar perangkap yang dimainkan oleh Liu Shao-chi kerana teks ucapan yang diizinkan oleh Mao telah pun diedarkan kepada mereka sehari sebelum bermulanya persidangan.
Walaupun Liu Shao-chi telah mematahkan hasratnya, Mao tidak serta-merta membalas tindakan Liu Shao-chi. Dia merancang langkah balas secara tidak terburu-buru. Mao merasakan dia telah ditempelak dan dihina dengan hebatnya oleh Liu Shao-chi di persidangan Conference of The Seven Thousand Cadres itu. Mao Tse-tung kemudian ada memberitahu isterinya, Jiang Qing, yang dia juga mungkin telah disingkirkan daripada jawatan Pengerusi Parti Komunis China semasa persidangan itu kalaulah tidak kerana kedatangan Lin Biau pada 29 Januari iaitu hari pertama selepas persidangan dilanjutkan beberapa hari kemudian. Lin Biau pada asalnya tidak dikehendaki menghadiri persidangan itu. Lin Biau telah bergegas datang atas arahan Mao Tse-tung.
Ucapan Lin Biau pada hari itu telah memberi kesan face saving kepada Mao Tse-tung. Lin Biau digeruni kerana, sebagai Menteri Pertahanan, tiga juta anggota tentera China berdiri di belakangnya. Mao mengambil masa empat tahun mempersiapkan strategi melenyapkan penentang-penentangnya seperti Liu Shao-chi. Maka terhasillah Revolusi Kebudayaan, kononnya untuk ‘membersihkan’ masyarakat China daripada amalan-amalan ‘kuno’ orang Cina yang dibilang Mao Tse-tung sebagai “Four Olds – old thoughts, old culture, old customs and old habits (halaman 236),” buku Harrison Salisbury.
Revolusi Kebudayaan yang kononnya bertujuan menghancurkan Four Olds itu sebetulnya tipu-helah dan putar-belit politik Mao Tse-tung. Tujuan sebenar Mao adalah untuk membersihkan parti komunis dari pemimpin-pemimpin yang tidak sehaluan dengan Mao Tse-tung. Malangnya, walaupun ia bersifat peribadi di antara Mao dengan penentangnya, Revolusi Kebudayaan telah mengheret bersama rakyat China yang tidak berdosa. Penubuhan Red Guards telah menyebabkan semua sekolah, maktab dan universiti di seluruh China ditutup, guru dikasari oleh murid mereka sendiri, polis tidak lagi berkuasa sehingga menjadi seperti golok kayu, pembunuhan dan penyeksaan manusia tak berdosa berlaku di sana sini di China.
Jika diperhalusi peristiwa keganasan dan tunjuk perasaan yang melonjak-lonjak di jalan-jalan raya di China oleh Red Guards pada pertengahan tahun 1960-an dan awal tahun 1970-an itu, kita dapat menyimpulkan, semacam ada persamaan antara apa yang berlaku di China itu dengan yang berlaku di tempat lain dalam dunia apabila pemimpin politik suka mengheret rakyat khususnya muda-mudi ke dalam sesuatu perkara yang bersifat peribadi dan menyentuh diri pemimpin politik itu sendiri.
Digeruni
Perlu saya katakan juga, setelah menjadi pemimpin utama Parti Komunis China sejak awal tahun 1930-an dan mengetuai negara komunis China sejak 1949, Mao bukan saja digeruni, ditakuti dan menjadi sumber segala macam ‘penawar’ untuk mengubati ‘penyakit’ masyarakat Cina bersandarkan ajaran komunis, dia juga dianggap memiliki sifat-sifat separuh Tuhan oleh rata-rata rakyat China yang buta huruf, dan sangat ketinggalan dari segi ilmu pengetahuan.
Cengkaman mendalam Mao Tse-tung terhadap jentera Parti Komunis China – di peringkat pusat, provinsi, daerah, bahkan di mana-mana pertubuhan pun yang ada menubuhkan bahagian atau ranting parti – semua ini telah membantu memperkukuh pemujaan dan ketaksuban terhadap Mao.
Penulis Salisbury, untuk bukunya The New Emperors: Mao and Deng, pada 1987 telah menemu bual Chen Han-sheng, seorang pejuang seangkatan dengan Mao dan telah mengabdikan hampir seluruh hidupnya untuk revolusi komunis China. Chen mendapat pendidikan di Pomona College, California, kemudian meneruskan pelajaran dalam bidang ekonomi di Universiti Chicago, Amerika Syarikat pada tahun 1920-an. Dia memasuki Parti Komunis China pada awal tahun 1930-an. Dia merupakan kenalan rapat Mao Tse-tung.
Chen Han-sheng menjadi salah seorang mangsa Red Guards semasa Revolusi Kebudayaan. Chen percaya ini angkara Mao kerana dia telah turut hadir dan menyokong ‘sepenuh jiwa’ ucapan Liu Shao-chi yang 'membaham' Mao semasa persidangan 7,000 kader pada awal 1962 itu. Dia berumur 91 tahun semasa ditemui Salisbury, matanya sudah hampir buta gara-gara perbuatan Mao memerintahkan doktor supaya tidak mengubati penyakit mata glaukoma yang dihidapi Chen semasa dia dalam tahanan Red Guards.
Sebelum saya menghuraikan secara luas kisah bagaimana Mao Tse-tung menghukum Liu Shao-chi, elok saya petik halaman 222 buku Salisbury yang menceritakan: “…Chen Bo-da, Mao’s personal secretary and alter ego (sahabat karib) for nearly thirty years, the man who personified Mao’s most evil impulses. Chen Bo-da (with Mao’s blessing) personally gave the orders that led to the death of President Liu Shao-chi and to the brutal treatment of Liu’s wife, Wang Guang-mei, and the rest of the family…” Chen Bo-da, ialah salah seorang anggota Kumpulan Kecil di pejabat Mao Tse-tung yang diberi tugas oleh Mao melaksanakan Revolusi Kebudayaan – anggota lain ialah Chao En-lai, Jiang Qing, Kang Sheng, Lin Biau dan tiga orang lagi daripada kumpulan Gang of Four pimpinan Jiang Qing.
Kata Salisbury lagi : “That Mao was a true ‘person of hatred’, in the words of the nonagenarian Chen Han-Sheng, would now be demonstrated on a scale that would eclipse even the savagery of his (Mao’s) role model, Emperor Qin (halaman 222).”
0 comments:
Post a Comment