Tuesday 19 March 2013

ESSCOM - ESSZONE: Kerajaan Laksana Pendekatan Holistik Lindungi Keselamatan Rakyat Sabah

Mungkin ada orang ramai yang tertanya-tanya serta ingin tahu mengenai latar belakang penubuhan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dan Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE). Sudah pasti ada yang mempersoalkan mengapa baru kini kerajaan menubuhkan ESSCOM sedangkan ancaman keselamatan memang sudah lama wujud seperti beberapa siri penculikan yang didalangi oleh kumpulan pengganas dari selatan Filipina.
 
Penulis ingin berkongsi fakta serta maklumat diperolehi dari media arus perdana supaya dapat memberi pencerahan kepada rakyat khususnya berhubung peranan serta fungsi  ESSCOM sebelum ditukar kepada ESSZONE.
 
Perlu ditekankan bahawa selama ini sememangnya ujud beberapa struktur keselamatan khas khusus untuk menangani isu keselamatan Sabah yang dianggap begitu mencabar dan unik. Mencabar kerana perairan terbuka sepanjang 1,400 kilometer begitu sukar untuk diawasi dan unik kerana komposisi penduduk Sabah yang mempunyai sejarah asal usul begitu menarik.
 
Operasi Padanan dan Sipadan Island Resort atau lebih dikenali dengan nama singkatan Ops Pasir adalah salah satu struktur keselamatan yang diwujudkan untuk berhadapan dengan ancaman khusus iaitu penculikan pelancong terutama sekali di pulau terpencil. Ops Pasir mula diperkenalkan pada tahun 2000 dan diuruskan oleh Markas Angkatan Bersama, Angkatan Tentera Malaysia (MAB-ATM).
 
Begitu juga dengan organisasi keselamatan lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Imigresen mempunyai peranan tertentu demi menjamin keselamatan perairan Sabah.
 
Wujudnya ESSCOM bukan kerana fungsi ATM, PDRM, APMM dan Imigresen tidak efektif atau untuk mengambil alih tugas tetapi sebenarnya untuk memantapkan lagi semua operasi yang dilaksanakan oleh entiti organisasi tersebut.
 
Pembentukan ESSCOM telah diumumkan secara dasar oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 7 Mac lalu yang merangkumi kawasan pantai timur negeri itu termasuk Kudat, Tawau, Kunak, Sandakan dan Lahad Datu.
 
Selama ini setiap aktiviti organisasi tersebut melaksanakan tugas masing-masing secara berasingan kerana setiap entiti tersebut mempunyai arahan pusat (central command) yang berbeza. Timbul beberapa kekangan terutama sekali dari segi kepantasan berkongsi maklumat risikan kerana masing-masing mempunyai strategi dan kepentingan yang berlainan di antara satu sama lain.
 
Tidak dinafikan teknologi canggih untuk mengekang kemasukan asing dan juga mengumpul maklumat risikan akan memainkan peranan penting untuk memastikan peristiwa pencerobohan Lahad Datu tidak akan berulang lagi. Peranan teknologi canggih mempunyai kekuatan yang ada hadnya jika ia tidak digunakan secara pintar.
 
Tetapi apa yang lebih penting adalah semua maklumat risikan tersebut perlu diproses dengan pantas dan betul. Di sini struktur ESSCOM adalah kritikal kerana ia perlu bertindak sebagai arahan pusat dengan seorang CEO atau Czar yang menjadi tonggak utama.
 
Kawasan ESSCOM dalam beberapa bulan mendatang sudah pasti akan menyaksikan perubahan mendadak dalam aspek keselamatan bukan sahaja dari segi pertambahan kehadiran anggota keselamatan tetapi juga aset berkaitan seperti balai polis, pos pendalaman dan perairan dan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ).
 
Kesemua aset tersebut tidak akan memberi makna jika tiada koordinasi aktiviti dan di sinilah peranan ESSCOM menjadi kritikal. Perlu ditegaskan penubuhan ESSCOM bukan memberi maksud bahawa selama ini keselamatan perairan Sabah diabaikan, tetapi sebenarnya untuk memantapkan lagi struktur keselamatan sedia ada menghadapi cabaran masa hadapan dengan memetik sumber Utusan Malaysia.
 
ESSZONE pendekatan holistik demi lindungi keselamatan rakyat Sabah dan bukan pendekatan ketenteraan semata-mata
 
Justeru itu, Kerajaan menubuhkan ESSZONE mengambil pendekatan holistik dan bukan pendekatan ketenteraan semata-mata bagi melindungi kawasan Timur dan seterusnya mencari penyelesaian kepada isu pencerobohan itu.
 
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengisytiharkan 10 daerah Zon Selamat Sabah Timur ESSZONE yang berkuat kuasa semalam bagi melindungi tanah berdaulat ini susulan insiden pencerobohan baru-baru ini.
 
Pengisytiharan ESSZONE melibatkan 10 daerah iaitu Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau membawa kepada penubuhan satu jawatankuasa menurut Peraturan-Peraturan Pemeliharaan Keselamatan Awam 2013 yang digubal oleh Menteri Dalam Negeri.
 
Perdana Menteri sendiri telah memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong supaya Ordinan Pemeliharaan Keselamatan  Awam 1962 dikuatkuasakan bagi memastikan keselamatan rakyat di Sabah terus terjamin.
 
Jawatankuasa ESSZONE akan dipengerusikan oleh Ketua Menteri Sabah, pegawai eksekutif termasuk ahli-ahli yang akan dimaklumkan kemudian. Sementara Najib sendiri akan mempengerusikan jawatankuasa pemantau.
 
Menurut Najib, berdasarkan kajian yang dilakukan, pihaknya mendapati punca utama kejadian pencerobohan pengganas yang berlaku di Lahad Datu ekoran kewujudan beberapa penempatan yang boleh dianggap mudah terdedah kepada bahaya penyusupan masuk pendatang asing tanpa izin.
 
"Maka saya ingin mengumumkan bahawa kerajaan akan mengadakan inisiatif penempatan semula penduduk yang tinggal di beberapa lokasi di kawasan Timur Sabah bagi maksud pemeliharaan keselamatan awam," ujarnya dipetik dari portal Sinar Harian.
 
Jelas Najib, kerajaan juga akan memastikan mereka yang terlibat dalam penempatan semula ini akan dijamin kehidupan mereka menerusi sumber pendapatan, pendidikan, kesihatan dan lain-lain keperluan yang disediakan di kawasan itu. ini akan turut memberi manfaat mereka yang tinggal berhampiran.
 
"Bukan bermakna kawasan Sabah Barat dilupakan. Buat masa ini di kawasan Timur Sabah lebih mendesak di mana kawalan keselamatan di Timur Sabah akan diperketatkan dengan tambahan tujuh balai polis baru yang akan dibina," jelas Najib.
 
Tegasnya, pengumuman yang dibuat beliau ini bukanlah pengisytiharan darurat dan ia tidak akan menjejaskan proses Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13). Ia tidak sekali-kali akan menghalang proses pilihan raya yang bebas, telus dan demokratik di mana pelaksanaan ESSZONE tidak akan membawa pertambahan kepada kuasa polis.
 
Malah mana-mana pihak yang berpendapat haknya terjejas boleh membawa kerajaan ke mahkamah melalui proses perundangan.
 
Sementara itu,  Najib dipetik Bernama berkata dengan penubuhan jawatankuasa ESSZONE ini, kerajaan mengambil pendekatan holistik dan bukan pendekatan ketenteraan semata-mata bagi melindungi kawasan Timur dan seterusnya mencari penyelesaian kepada isu pencerobohan itu.
 
Pada hari ini tiga buah kabin yang akan jadi asas kepada kewujudan ESSCOM tiba di Lahad Datu dan akan berfungsi tidak lama lagi manakala tujuh buah balai polis tambahan akan diwujudkan di kawasan Sabah Timur yang dijangka akan turut menerima kabin-kabin balai pada awal April.
 
Ketujuh -tujuh balai polis tambahan itu melibatkan kawasan Pulau Bum Bum, Pulau Gaya, Pulau Banggi, Pulau Mabul, Tambisan, Tanjung Labian dan Cenderawasih, Felda Sahabat di mana perkara ini telah disahkan ketua setiausaha negara dan saya telah rundingkan dengan menteri dalam negeri dan ketua polis negara.
 
Dalam pada itu, Najib menegaskan ESSZONE bukannya pengisytiharan darurat di bawah perkara Perlembagaan Persekutuan.
 
"Ia tidak sekali-kali menghalang proses pilihan raya dan peraturan yang bebas, telus dan demokratik serta tidak memberikan sebarang kuasa tambahan kepada pihak polis, jika ada orang yang berpendapat haknya terjejas, dia boleh membawa kerajaan ke mahkamah melalui proses perundangan. Kehidupan akan berjalan seperti biasa di kawasan berkenaan tetapi dengan peningkatan kawalan keselamatan bagi memastikan kesejahteraan hidup rakyat," katanya.
 
Perdana menteri turut menjelaskan bahawa Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 yang digunakan untuk menjalankan penyiasatan dan tangkapan dalam semua kes melibatkan pengganas di Sabah ketika ini ialah suatu akta melibatkan prosedur semata-mata.

0 comments:

Post a Comment