Saturday 15 December 2012

Gejala spam perlu ditangani

Malaysia berpendapat Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) perlu terus berani mengemukakan pandangan lebih tegas mengenai perkara berkaitan soal integriti, keselamatan jaringan serta spam, dan tidak hanya mengehadkan perbincangan kepada aspek teknikal dalam telekomunikasi semata-mata.
Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata selagi badan dunia itu tidak berani mengemukakan pandangan yang boleh melindungi hak asasi anggotanya, selagi itu peranannya akan dilihat amat terhad.

Katanya, soal seperti gejala spam, jika tidak dapat diketengahkan dan ditangani dalam persidangan antarabangsa seperti Persidangan Telekomunikasi Antarabangsa Sedunia 2012 (WCIT), ia merugikan banyak pihak.

“Kita bukan nak kacau atau masukkan sesuatu yang tidak wajar dalam dunia IT (teknologi maklumat), yang kita maksudkan ialah supaya talian atau jaringan kita bebas daripada sebarang gangguan yang boleh merosakkan perkhidmatan,” katanya kepada pemberita selepas diwawancara media ITU di sini, semalam.

Rais berkata, apabila seseorang melanggan dengan syarikat telekomunikasi untuk melayari internet, individu berkenaan mempunyai hak untuk bebas daripada gejala seperti spam.
Sebagai agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang merujuk khusus kepada isu berkaitan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), ITU yang membabitkan keanggotaan hampir 200 negara di samping pemain industri, menyediakan pentas untuk forum dan perbincangan antara pihak berkepentingan ke arah mencapai persetujuan dalam isu berkaitan hala tuju industri ICT.



WCIT 2012 anjuran ITU yang akan berakhir esok pula menampilkan perbincangan, perbahasan serta semakan semula Peraturan-Peraturan Telekomunikasi Antarabangsa (ITR) iaitu perjanjian global yang diguna pakai khusus bagi memudahkan saling hubungan antarabangsa dalam isu berkaitan telekomunikasi di samping menggariskan prinsip bagi memastikan pengaliran maklumat yang bebas sepenuhnya di seluruh dunia.

Sementara itu, merujuk kepada wawancara oleh media ITU, Rais berkata beliau diberi kesempatan menerangkan kepada badan antarabangsa itu mengenai kemajuan yang dicapai Malaysia dalam aspek IT.

Katanya, beliau turut menyampaikan maklumat bagaimana Malaysia menyediakan akses internet yang luas kepada pengguna termasuk di kawasan luar bandar, di samping berusaha menjamin perkhidmatan yang mantap dan dalam kemampuan buat seluruh masyarakat.

Berita Harian

0 comments:

Post a Comment