Monday 10 December 2012

JENAYAH JALANAN BOLEH DIBANTERAS

Program Transformasi kerajaan (GTP) telah memupuk penyatuan dan kerjasama antara kementerian, jabatan,agensi dan pihak berkepentingan di semua peringkat, persekutuan, negeri, pihak berkuasa tempatan dan penduduk.

Sejak tahun 2009, NKRA Mengurangkan Jenayah dengan pelaksanaan 55 inisiatif termasuk Program Bandar selamat di seluruh negara telah memperlihatkan kerjasama antara Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebagai peneraju NKRA jenayah serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD), PDRM, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan agensi awam atau swasta bergabung membanteras jenayah jalanan.

Kerajaan sentiasa dan berusaha menjaga keselamatan rakyat namun ianya tak boleh diletakkan atas bahu sebelah pihak sahaja. Rakyat sendiri juga perlu ada kesedaran dan inisiatif untuk membanteras jenayah sendiri. Apa yang penting langkah pencegahan boleh dilakukan bermula dari perkarangan rumah anda sendiri.

Antaranya, gunakanlah laluan pejalan kaki yang telah diasingkan untuk mengurangkan kadar jenayah kerana apabila anda berjalan berhampiran dengan kenderaan yang lalu lalang, anda terdedah kepada jenayah-jenayah seperti ragut atau pun kemalangan jalan raya. Selain itu berjalan melawan arah trafik juga dapat mengelakkan jenayah berlaku.

Selain itu, anda pula perlu lebih peka dan ambil peduli dengan keadaan sekeliling. Contohnya dapatkan segala maklumat berkenaan jenayah yang dihebahkan melalui program-program dan kempen-kempen yang diadakan oleh pihak-pihak tertentu. Ini secara tak langsung dapat menambahkan info mengenai jenayah.

Seterusnya, elakkan diri anda berjalan atau berada di kawasan gelap dan sunyi serta  elakkan memujudkan kawasan gelap. Contohnya pasanglah lampu pencahayaan di hadapan dan belakang rumah anda agar ia tidak menjadi kawasan tumpuan pencuri atau penjenayah. Ini bukan saja menyelamatkan nyawa anda malah harta benda anda juga berada dalam keadaan yang selamat.

Ingatlah pihak polis sentiasa bersama-sama anda di mana balai polis bergerak kini disediakan di mana-mana sahaja terutama di kawasan tumpuan jenayah. Ini memudahkan orang ramai membuat aduan dan juga memudahkan pihak polis membuat pemantauan di kawasan-kawasan tertentu.

Kini terdapat juga kios interaktif yang mula dipasang di Georgetown Pulau Pinang sebagai projek perintis. Kios ini membolehkan anda berhubung secara terus dengan pihak polisuntuk melaporkan sebarang kecemasan dengan hanya menekan butang pada penggera keselamatan. CCTV yang berdekatan kawasan tersebut akan merakam individu yang membuat laporan bagi mengelakkan aktiviti laporan palsu.

Anda juga boleh suarakan pendapat dan pengalaman anda berkenaan keselamatan kepada pihak berkuasa di laman web yang telah disediakan. Pendapat anda semua adalah penting bagi tujuan penambahbaikan atau pencegahan dan juga untuk makluman orang ramai.


0 comments:

Post a Comment