Saturday 14 July 2012

Pusat Membeli-belah Tingkatkan Keselamatan

'BUTANG panik' tanpa wayar dipasang di tempat letak kereta pusat membeli-belah sebagai langkah membanteras jenayah dan melindungi pengguna di tempat letak kereta- Foto MStar
PETALING JAYA: 'Butang panik' tanpa wayar dipasang di tempat letak kereta pusat membeli-belah popular sebagai langkah membanteras jenayah dan melindungi pengguna di kawasan tempat letak kereta.

Butang panik berkenaan akan memberi amaran kepada anggota keselamatan dan polis dalam masa 10 saat untuk mengambil tindak balas segera sekiranya sesuatu kejadian yang tidak diingini berlaku.

Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Mall, H.C Chan berkata, ciri tersebut bertujuan sebagai langkah keselamatan tambahan untuk membantu melindungi pelanggan daripada kejadian ragut yang dilaporkan banyak berlaku di tempat letak kereta pusat membeli-belah.

"Setakat ini kita telah memasang 200 butang panik ini di seluruh tempat letak kereta yang dikenali sebagai sistem i-amaran. Ia boleh ditekan semasa kecemasan.

"Sistem ini direka untuk memberi amaran kepada pegawai keselamatan dalam masa 10 saat dan minta mereka bertindak dengan pantas," katanya.


Sementara itu menerusi sidang media di Pusat Konvensyen Sunway pada Jumaat memberitahu bahawa pusat membeli-belah itu juga mempunyai 400 kamera litar tertutup (CCTV) yang memantau kawasan tempat letak kereta di samping rondaan kerap daripada anggota polis yang dilantik.

"Sebahagian daripada mereka menggunakan unit keselamatan mudah alih, yang boleh digunakan untuk membawa pelanggan ke kereta mereka di dalam kawasan tempat letak kereta," katanya.- ( MStar )

0 comments:

Post a Comment