Wednesday, 28 November 2012

BANJIR DI SELANGOR : APA USAHA KHALID IBRAHIM UNTUK MEMBANTU RAKYAT?


Banjir telah melanda beberapa kawasan di Selangor. Malah, tanah runtuh juga telah berlaku di Ampang. Namun, Kerajaan Pakatan Rakyat yang diterajui oleh Khalid Ibrahim, langsung tidak menampakkan sebarang usaha untuk membantu rakyat. Di sebalik pelbagai janji yang dibuat, Kerajaan Pakatan Rakyat pimpinan Khalid Ibrahim lebih berminat dengan penghapusan aset dan penjualan serta harta benda rakyat Selangor untuk kepentingan diri, seolah-olah Pakatan Rakyat sudah tidak  yakin lagi mereka akan menerajui Selangor selepas PRU13.
Apabila Najib Abdul Razak mengumumkan, sekiranya Barisan Nasional berjaya merampas Selangor dari tangan Pakatan Rakyat pada PRU13 akan datang, perkara pertama yang dilakukan nanti adalah melupuskan projek kondominium di Batu Caves, orang yang paling kuat melompat adalah Xavier Jeyakumar, Exco Selangor merangkap ADUN Sri Andalas. Kata Xavier Jeyakumar, Najib sekadar membeli undi untuk pilihanraya.
Anehnya, Pakatan Rakyat yang menjadi Kerajaan Negeri di Selangor tidak pula mendahului Barisan Nasional dengan melupuskan projek kondominium tersebut sebaliknya, berusaha menyalahkan UMNO dan Barisan Nasional, kononnya projek tersebut telah diluluskan pada zaman Kerajaan Negeri yang terdahulu.

Malah, lebih daripada itu, Najib turut memberi keyakinan bahawa Putrajaya akan mengusulkan agar Batu Caves dimasukkan dalam senarai Warisan Dunia 2015, selagi mana Barisan Nasional adalah Kerajaan Persekutuan. Ini jelas menunjukkan Barisan Nasional akan melakukan apa-apa sahaja untuk mengotakan janjikan dalam kes Batu Caves.
Pakatan Rakyat pada masa yang sama juga turut berjanji tetapi janji mereka lebih kepada ‘cakap tidak serupa bikin’.
Dalam akhbar-akhbar berbahasa Cina baru-baru ini, Ronnie Liu dipetik sebagai berkata, Kerajaan Negeri akan membina jambatan ketiga di Kelang pada tahun hadapan. Ramai yang berpendapat, kenyataan Ronnie Liu itu sebenarnya tidak lebih daripada sebuah propaganda dan pembohongan semata-mata.
Perkara pertama yang dipertikaikan ialah, ke mana hilangnya RM3.5 juta peruntukan yang diumumkan tahun lepas untuk membina kolam takungan banjir di Jalan Tengku Kelana dan RM5 juta untuk projek tebatan banjir di Kelang?
Sehingga ke hari ini, sudah berpuluh-puluh kes banjir berlaku di Selangor, Kerajaan Pakatan Rakyat langsung tidak melakukan suatu apa pun, baik untuk mengatasi banjir mahupun membantu mangsa banjir. Bahkan beberapa orang wakil rakyat Pakatan sendiri merungut apabila projek tebatan dan kolam takungan banjir yang dijanjikan, sehingga sekarang, belum lagi dibina, sepertimana yang berlaku di Bayu Perdana dan Jalan Tengku Kelana melibat Ahli Parlimen Kelang, Charles Santiago.
M.Manoharan, ADUN Kota Alam Shah turut mendakwa, dia telah menulis lebih dari 20 pucuk surat kepada Kerajaan Negeri berhubung isu banjir tetapi sehingga ke hari ini, dia tidak menerima sebarang respons.
Itu membuktikan bahawa para pemimpin Pakatan Rakyat Negeri Selangor sebenarnya tidak prihatin dan jujur dalam menjalankan tugas mereka.
Kalau masalah banjir yang melanda Selangor pun, tidak dapat diselesaikan oleh Pakatan Rakyat, padahal mereka sudah mentadbir Selangor selama empat tahun, bagaimana Ronnie Liu boleh membina sebuah jambatan dalam tempoh empat bulan sebelum Parlimen dibubarkan pada Mac hadapan?
Persoalan yang lebih utama ialah, selama ini adakah Menteri Besar Selangor dan anggota Exconya benar-benar turun untuk melihat bagaimana banjir telah memusnahkan kehidupan rakyat dan harta benda mereka?
Pakatan Rakyat boleh menjanjikan beratus-ratus juta ringgit peruntukan banjir tetapi persoalan yang paling utama ialah, sudah berapa sen digunakan untuk tujuan itu atau beratus-ratus juta ringgit itu,semuanya turut hanyut seperti hanyutnya sampah dibawa arus banjir?

0 comments:

Post a Comment