Friday 30 November 2012

JALAN BULAN SEBELAH PLAZA BUKIT BINTANG DITUTUP SEMENTARA



Laluan kenderaan di Jalan Bulan bersebelahan Plaza Bukit Bintang, akan ditutup selama empat tahun untuk projek pembinaan Mass Rapid Transit (MRT) mulai Sabtu (1/12/2012)  ini.

Pengarah Komunikasi Strategik dan Perhubungan Awam MRT Corporation Sdn Bhd Amir Mahmood Razak berkata berikutan itu orang ramai boleh menggunakan laluan alternatif di Jalan Bulan 1, Lorong Bintang atau melalui Jalan Imbi.

Beliau berkata kerja-kerja pembinaan stesen itu adalah sebahagian daripada laluan bawah tanah di kawasan bandar raya yang sibuk.

"Oleh itu, kawasan kerja yang sesuai adalah terhad. Kawasan kerja perlu berada dekat dengan tapak stesen atas sebab-sebab logistik dan keselamatan binaan," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Amir Mahmood berkata pihaknya telah berbincang dengan pihak berkuasa berkaitan penutupan laluan itu dan papan tanda trafik akan diletakkan untuk membantu pengguna jalan raya.

Beliau berkata pihaknya juga telah mengaktifkan pelan komunikasi dan notis awam bagi memaklumkan kepada semua penyewa pusat membeli-belah, hotel, tempat letak kereta, kedai runcit dan outlet berhampiran tentang laluan alternatif untuk ke tempat letak kereta.

"Kami bekerja rapat dengan Sistem Maklumat Pengangkutan Bersepadu (ITIS) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) serta pihak berkuasa lain untuk menyebarkan maklumat trafik melalui Sistem Pesanan Maklumat Berubah (VMS)," katanya.

Amir Mahmood turut menasihatkan para pemandu supaya berjaga-jaga dengan kerja-kerja yang dijalankan di kawasan tersebut dan mengikut arahan papan tanda untuk melalui Jalan Bulan.

Orang ramai yang ingin mendapat maklumt trafik MRT terkini boleh melayari laman web MRT di www.mymrt.com.my atau maklumat kerja-kerja bawah tanah di www.mymrt-underground.com.my serta twitter di @MRTMalaysia atau @MyMRT Undergroud atau terus menghubungi Hotline MRT di 1-800-82-6868. - BERNAMA

0 comments:

Post a Comment